Allah menjadikan fitrah insan
mempunyai perasaan kasih dan sayang. Perasaan ini ada pada setiap manusia yang
normal. Kita sememangnya menyayangi ahli keluarga, saudara-mara, kawan yang
rapat, sesiapa sahaja yang membuat kebaikan kepada kita.
Sebenarnya perasaan kasih dan
cinta ini boleh membawa seseorang itu ke syurga atau ke neraka.
Dari Anas bin Malik r.a dia
berkata:
“Ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw “ Bilakah hari kiamat akan berlaku wahai Rasulullah?” baginda menjawab, “Apa yang telah kau persiapkan untuknya?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa, ataupun sedekah. Namun aku mencintai Allah dan RasulNya.” Maka beliau bersabda: “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.” (Imam al-Bukhari dan Muslim)
“Ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw “ Bilakah hari kiamat akan berlaku wahai Rasulullah?” baginda menjawab, “Apa yang telah kau persiapkan untuknya?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa, ataupun sedekah. Namun aku mencintai Allah dan RasulNya.” Maka beliau bersabda: “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.” (Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadis Nabi saw ini menjelaskan bahawa lelaki tersebut akan
bersama Rasulullah saw di syurga lantaran kasih dan cintanya kepada Allah dan
Rasul walaupun amal solehnya tidak seberapa.
Hadis ini juga memberi isyarat kepada kita agar berhati-hati
memilih orang untuk dicintai, dipuja dan dinyatakan taat setia kerana ia boleh
membawa kepada kebinasaan di akhirat.
Dalam hadis yang lain iaiti riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a
bahawa dia berkata:
“Seorang lelaki datang kepada
Rasulullah saw lalu bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapat baginda tentang
seseorang yang mencintai suatu kaum namun dia tidak mampu menyamai (amalan
saleh) mereka?” Maka Rasulullah saw menjawab, “Seseorang itu akan bersama
dengan orang yang dia cintai.” (Imam
al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan hari akhirat dan yakin
dengan sabda Rasulullah saw kita hendaklah meletakkan rasa cinta dan kasih kita
bertunjangkan kepada iman dan Islam. Dengan kata lain kita menyintai seseorang
kerana agama dan takwanya kepada Allah.
Cinta dan benci hendaklah kerana Allah SWT. Kita mencintai
seseorang kerana Allah juga mencintainya lantaran keimanan dan ketaatannya
kepada Allah. Kita juga hendaklah membenci seseorang kerana Allah juga
membencinya disebabkan perdurhakaannya kepada Allah.
Muhasabahlah diri kita masing-masing. Siapa orang yang kita
sayangi? Adakah mereka golongan yang beriman, mentauhidkan Allah dan
mengabdikan diri kepada Allah atau mereka golongan yang menyekutukan Allah dan
mengingkariNya?
Amat malang sekali sekiranya terdapat orang Islam tetapi
mengasihi dan memuja golongan yang memusuhi Allah iaitu individu yang menyembah
selain dari Allah. Lebih malang lagi si muslim tersebut akan bersama-sama
pujaannya (yang mati dalam syirik) di neraka kelak sebagaimana maksud hadis Nabi
saw di atas.
Kita sepatutnya menyatakan kecintaan kepada golongan yang
dicintai dan diredai oleh Allah iaitu Rasulullah saw, para sahabat, para
tabi’in, para ulama dan sesiapa sahaja yang beriman dan beramal soleh.
Mencintai golongan ini akan memberi kebaikan kepada kita iaitu dimasukkan ke
dalam syurga disebabkan keimanan dan kesolehan mereka.
Sememangnya kita tidak akan mampu menandingi amalan-amalan
mereka namun disebabkan rasa cinta kepada mereka Allah dengan kemurahanNya akan
menempatkan kita bersama mereka. Subhanallah!
Semoga Allah mencampakkan benih kecintaan dalam hati-hati kita
agar mencintai golongan yang dikasihi dan diredai oleh Allah SWT.

No comments:
Post a Comment